One Aqidah

Artikel

[Artikel] HUKUM-HAKAM MEMAKAI CINCIN

September 10, 2012 by admin in Artikel, Fiqih

HUKUM-HAKAM MEMAKAI CINCIN
Abu Omar, Idris bin Sulaiman

1. HUKUM MEMAKAI CINCIN

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اتَّخَذَ النَّبِيُّ خَاتَمًا مِنْ ذَهَبٍ وَفِي رِوَايَةٍ: وَجَعَلَهُ فِي يَدِهِ الْيُمْنَى ثُمَّ أَلْقَاهُ ثُمَّ اتَّخَذَ خَاتَمًا مِنْ الْوَرق نُقِشَ فِيهِ:مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَقَالَ: «لَا يَنْقُشَنَّ أَحَدٌ عَلَى نَقْشِ خَاتَمِي هَذَا» . وَكَانَ إِذَا لَبِسَهُ جَعَلَ فَصَّهُ مِمَّا يَلِي بَطْنَ كَفه.

Daripada Ibnu Omar dia berkata: “Nabi telah memakai cincin daripada emas (dalam satu riwayat: Baginda memakainya di tangan kanannya) lalu Baginda melemparkannya dan memakai cincin daripada perak dengan ukiran: Muhammad Rasulullah. Dan Baginda bersabda: Jangan ada yang mengukir seperti ukiran cincinku ini. Ketika memakainya Baginda akan menjadikan kepala cincinnya pada bahagian dalam telapak tangannya.” (Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, walaupun ia sebahagian daripada Sunnah amalan Baginda, dalam masa yang sama harus diingat bahawa ia termasuk dalam kategori Sunnah Adat (السنة العادية) dan bukan Sunnah Ibadah (السنة التعبدية). Ini kerana Baginda tidak memakainya untuk tujuan ibadah dengan niat untuk mendapat pahala. Sebaliknya, Baginda memakainya untuk tujuan yang tertentu iaitu mengecop surat-surat Baginda kepada ketua-ketua negara ketika itu.

Sebagaimana dalam riwayat Anas bin Malik, “Bahawasanya tatkala Nabi ingin mengutuskan surat kepada Raja Rom, Baginda dimaklumkan bahawa mereka tidak akan menerima kecuali surat-surat yang telah dicop. Maka Baginda pun memakai cincin yang dibuat daripada perak dan aku seolah-oleh melihatnya (ketika ini) dengan tertera pada kepala cincinnya ukiran Muhammad Rasulullah.” (Bukhari)

Maka Nabi telah memakai cincin untuk keperluan Baginda sebagaimana Baginda memakai jubah, sarung, serban dan selipar yang kesemuanya termasuk dalam kategori Sunnah Adat dan bukan Sunnah Ibadah.

Maka berdasarkan perbuatan Nabi memakai cincin, para Ulama menyimpulkan bahawa hukum memakai cincin adalah harus.

2. LARANGAN MEMAKAI CINCIN EMAS, BESI ATAU TEMBAGA SAMA ADA UNTUK LELAKI ATAU WANITA DAN DIBOLEHKAN SELAIN DARIPADANYA

Kaum lelaki dilarang daripada memakai cincin emas. Hal ini jelas dalam hadis riwayat Al-Bara’ bin Aazib , “Bahawasanya Nabi melarang daripada cincin emas” (Bukhari dan Muslim).

Begitu juga dalam riwayat Ibnu Abbas, “Bahawasanya Nabi melihat seorang Sahabat lelaki memakai cincin emas pada tangannya, maka Baginda mencabut dan melemparkannya seraya bersabda: Seorang kamu mengambil bara api lalu meletakkannya pada tangannya?!” (Muslim)

Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan para Ulama, tetapi berdasarkan pendapat yang lebih kuat (rajih) yang didokong oleh dalil, wanita turut dilarang daripada memakai cincin emas.

Larangan ini jelas dalam hadis daripada riwayat Abu Hurairah bahawasanya Nabi bersabda:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُحَلِّقَ حَبِيبَهُ حَلَقَةً مِنْ نَارٍ فَلْيُحَلِّقْهُ حَلَقَةً مِنْ ذَهَبٍ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُطَوِّقَ حَبِيبَهُ طَوْقًا مِنْ نَارٍ فَلْيُطَوِّقْهُ طَوْقًا مِنْ ذَهَبٍ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُسَوِّرَ حَبِيبَهُ سِوَارًا مِنْ نَار فليسوره مِنْ ذَهَبٍ وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِالْفِضَّةِ فَالْعَبُوا بِهَا.

“Barangsiapa ingin menyarung kekasihnya dengan cincin daripada neraka, bolehlah dia menyarungnya dengan cincin emas; barangsiapa ingin menyarung kekasihnya dengan rantai daripada neraka, bolehlah dia menyarungnya dengan rantai emas; dan barangsiapa ingin menyarung kekasihnya dengan gelang daripada neraka, bolehlah dia menyarungnya dengan gelang emas. Sebaliknya hendaklah kamu menggunakan perak. Bermainlah dengannya.” (Hasan. Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Disamping hadis di atas, terdapat beberapa hadis lain tentang permasalahan ini yang telah dihimpunkan oleh Syeikh Al-Albani dalam kitab beliau Aadaab Al-Zafaaf (Adab-Adab Perkahwinan). Dalam Kitab ini, beliau turut menjawab hujah-hujah yang digunakan oleh pihak yang membolehkan pemakaian cincin disamping rantai dan gelang yang dibuat daripada emas (emas berlingkar) buat wanita.

Adapun tentang larangan memakai cincin besi (termasuk yang dibuat daripada tembaga dan yang sejenisnya) sama ada bagi lelaki atau wanita, larangan ini dinyatakan dalam hadis daripada riwayat Abdullah bin Amru iaitu:

أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ وَفِي يَدِهِ خَاتَمٌ مِنْ ذَهَبٍ، فَأَعْرَضَ النَّبِيُّ، فَلَمَّا رَأَى الرَّجُلُ كَرَاهِيَتَهُ ذَهَبَ فألقى الخاتم، وأخذ خاتم مِنْ حَدِيدٍ فَلَبِسَهُ، وَأَتَى النَّبِيَّ قَالَ: “هَذَا شَرٌّ؛ هَذَا حِلْيَةُ أَهْلِ النَّارِ”. فَرَجَعَ، فَطَرَحَهُ، وَلَبِسَ خَاتَمًا مِنْ وَرِقٍ، فَسَكَتَ عَنْهُ النَّبِيُّ.

“Bahawasanya seorang lelaki mendatangi Nabi sedang di tangannya terdapat cincin emas maka Baginda berpaling daripadanya. Melihat kebencian Baginda lelaki itu pun membuang cincin itu dan memakai cincin besi. Melihatnya Baginda bersabda, “Ini lebih keji, ia adalah perhiasan ahli neraka.” Setelah melemparkannya lelaki itu pun memakai cincin perak dan Baginda berdiam diri terhadapnya.” (Sahih. Riwayat Ahmad dan Bukhari dalam Adab Al-Mufrad)

3. PADA JARI MANA DILETAKKAN CINCIN

Sama ada bagi kaum lelaki mahupun wanita, dibolehkan bagi mereka memakai cincin pada jari manis, kelingking ataupun ibu jari. Adapun jari telunjuk dan tengah, keduanya adalah dilarang.

Hal dinyatakan dalam sebuah athar daripada Ali bin Abi Talib, “Bahawasnya (Rasulullah) melarangku memakai cincin pada jari ini dan ini – seraya mengisyaratkan kepada jari telunjuk dan jari tengah.” (Sahih. Riwayat Al-Nasa’i)

4. SUNNAH MEMAKAI CINCIN PADA TANGAN KANAN ATAU KIRI

Rasulullah pernah memakai cincin pada kedua-dua tangannya sebagaimana dalam hadis Anas bin Malik, “Bahawasanya Rasulullah telah memakai cincin perak pada tangan kanannya di mana kepala cincinnya daripada Habsyah; dan Baginda menjadikan kepala cincinnya pada bahagian dalam telapak tangannya.” ( Bukhari dan Muslim)

Anas bin Malik turut meriwayatkan, “Bahawasanya Nabi memakai cincin pada jari ini – sambil mengisyarat pada jari manis tangan kirinya.” (Muslim)

Berdasarkan kedua-dua riwayat yang sahih ini dapat disimpulkan bahawa sama ada cincin itu diletakkan pada tangan kanan mahupun tangan kiri, kedua-duanya adalah Sunnah kerana ia telah dilakukan oleh Rasulullah. (Al-Syarah Al-Mumti’ oleh Syeikh Ibnu Uthaimin, 6/116)

5. KEPALA CINCIN DILETAK PADA BAHAGIAN DALAM TELAPAK TANGAN

Sunnahnya adalah mengarahkan kepala cincin ke arah dalam telapak tangan sebagaimana dalam hadis riwayat Anas bin Malik, “Bahawasanya Rasulullah menjadikan kepala cincinnya pada bahagian dalam telapak tangannya.” (Bukhari dan Muslim)

6. PENJELASAN TENTANG HADIS “CARILAH (MAS KAHWIN) SEKALIPUN CINCIN DARIPADA BESI”

Hadis di atas merujuk kepada riwayat Sahl bin Sa’ad, “Bahawasanya Rasulullah didatangi seorang wanita yang berkata: Wahai Rasulullah, aku telah menghadiahkan diriku kepadamu. Setelah wanita itu berdiri lama seorang lelaki berdiri dan berkata: Wahai Rasulullah, kahwinkanlah aku dengannya sekiranya engkau tidak mempunyai hajat kepadanya. Rasulullah pun berkata: “Adakah kau mempunyai apa-apa (mas kahwin) untuk diberi kepadanya?” Jawab lelaki itu: Aku tidak ada kecuali sarungku ini. Berkata Baginda: “Carilah (mas kahwin) sekalipun cincin daripada besi.” Lelaki itu pun mencari tetapi tidak mendapati apa-apa. Maka Rasulullah pun berkata: “Apakah kau mempunyai apa-apa (hafalan) daripada Al-Quran. Jawabnya: Ya, Surah ini dan Surah itu. Kata Baginda: “Aku kahwinkan engkau dengannya dengan apa yang kau ada daripada Al-Quran.” (Bukhari dan Muslim)

Ibnu Hajar ketika mensyarahkan hadis di atas menjelaskan bahawa hadis ini tidak menunjukkan bahawa Baginda membolehkan memakai cincin besi. Ini kerana keizinan untuk memilikinya tidak bererti keizinan untuk memakainya. Berkemungkinan Baginda memaksudkan tujuan lain supaya si isteri dapat mengambil manfaat daripada harga cincin besi itu. (Fathulbari Syarah Sahih Al-Bukhari oleh Ibnu Hajar, 10/266)

Syeikh Albani menjelaskan bahawa andainya ia menunjukkan keharusan memakai cincin besi, hendaklah dianggap bahawa peristiwa ini berlaku sebelum datangnya larangan memakai cincin besi. Ini adalah penting bagi menghimpunkan antara kedua-dua hadis yang mengharus dan melarang pemakaian cincin besi. Inilah pendapat yang didukung oleh Imam Ahmad, Ibn Rahawaih dan Imam Malik. (Adaab Al-Zafaaf oleh Syeikh Albani, hlm. 219)

7. LARANGAN MEMAKAI CINCIN PERKAHWINAN

Perlu dijelaskan bahawa amalan memakai cincin perkahwinan bukan daripada ajaran Islam. Ia tidak dilakukan oleh Rasulullah, para Sahabat mahupun generasi awal Islam. Sebaliknya ia adalah adat tradisi yang diwarisi daripada orang Kristian dalam urusan perkahwinan mereka.

Amalan menyarung cincin perkahwinan adalah adat Kristian sejak turun-temurun di mana si pengantin lelaki akan meletakkan cincin pada hujung ibu jari pengantin perempuan lalu berkata: “Dengan nama Bapa”. Setelah itu dia akan memindahkan cincin ke hujung jari telunjuk dan berkata: “Dengan nama Anak”. Selepas itu dia beralih ke jari tengah seraya berkata: “Dengan nama Roh Al-Qudus”. Dan tatkala dia berkata “Amin” dia akan menyarungkan cincin itu pada jari kelingking pengantin perempuan itu.

Syeikh Albani menukilkan kenyataan Angela Talbot, editor Majalah Women yang berpusat di London dalam keluaran ke-19 pada 19 Mac 1960 di mana ketika menjawab soalan tentang mengapa cincin perkahwinan diletakkan pada jari kelingking tangan kiri, Angela Talbot berkata: “Dikatakan bahawa terdapat urat saraf yang berhubung secara terus daripada jari tersebut ke jantung.” (Adaab Al-Zafaaf oleh Syeikh Albani, hlm. 212-214)

Syarak melarang keras Umat Islam meniru orang kafir apatah lagi dalam urusan yang bersangkut-paut dengan kepercayaan keagamaan mereka. Perbuatan seperti ini jelas boleh membawa kepada kufur wal iyazubillah. Rasulullah mengecam mereka yang meniru orang kafir dalam sabda Baginda, “Barangsiapa merenyerupai sesebuah kaum maka dia tergolong dalam kaum itu” (Hasan. Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Oleh itu, jelas memakai cincin yang khas buat pertunangan atau perkahwinan adalah haram kerana ia menyerupai amalan orang Kristian. Lebih sulit lagi sekiranya cincin itu dibuat daripada emas. Dalam hal ini dua kesalahan telah dilakukan. Pertama, menyerupai orang kafir. Kedua, memakai cincin emas. Harus diingat, bukan sahaja kaum lelaki tetapi wanita juga turut dilarang daripada memakai cincin emas sebagaimana dalam hadis-hadis yang telah disebutkan dalam Perkara ke-2 dalam tulisan ini.

وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم

Kajang, 29 Ogos 2012
Idrissulaiman@yahoo.com
012-3860471

Kongsikan:

Related Posts

Prinsip 1aqidah.net

1 - al-Qur'an & as-Sunnah sebagai pegangan.

2 - Memahaminya di atas pemahaman para Salafus Soleh yang terdiri dari para Sahabat yang diredhai, Tabi'in, dan Tabi'ut Tabi'in.

3 - Melalui para ulama yang berdiri teguh di atas jalan mereka.

4 - Memastikan agama ditegakkan di atas fakta yang sahih lagi ilmiyah.

Kongsikan 1aqidah.net
Blog Traffic

Pages

Pages|Hits |Unique

  • Last 24 hours: 739
  • Last 7 days: 6,541
  • Last 30 days: 25,481
  • Online now: 1
LIKE 1AQIDAH.NET di Facebook
Plugin from the creators ofBrindes :: More at PlulzWordpress Plugins